Feb 23, 2011

AMALAN KURANG TEPAT YANG MENGURANGKAN SUSU IBU

Info sharing daripada :

Panduan Penyusuan Susu Ibu - Masalah penyusuan, Teknik Penyusuan, Kaedah Penyusuan, Hukum Penyusuan

Saya sering bertemu dengan ibu-ibu yang tidak begitu peka dengan amalan yang kurang tepat dalam penyusuan susu ibu. Antara amalannya adalah seperti menunggu sehingga susu penuh dan membengkak sebelum pergi memerah susu. Amalan ini dalam jangka masa panjang akan menyebabkan susu semakin berkurangan kerana apabila susu terlalu penuh, otak akan menerima maklumat bahawa terlalu banyak susu yang dihasilkan. Ini akan mengurangkan pengeluaran susu sedikit demi sedikit. Sekiranya amalan ini diteruskan, susu akan semakin berkurangan dan seterusnya menyebabkan bayi tidak mendapat susu yang cukup.

Sekiranya ibu tersebut mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai penyusuan susu ibu, dia akan menambah kekerapan memerah susu dan mengambil pemakanan tambahan yang dapat membantu meningkatkan pengeluaran. Bagaimana pun, malang sekali apabila ada juga ibu-ibu yang mengambil jalan mudah dengan menambah susu formula bagi menampung keperluan bayi mereka.

Selain itu, saya juga beberapa kali terlihat susu yang baru diperah diletakkan dibahagian beku (freezer) ketika di tempat kerja. Amalan ini tidak salah sekiranya anda berhasrat untuk menyimpan susu perahan untuk tujuan stok. Bagaimana pun, adalah lebih baik sekiranya susu perahan itu diletakkan di bahagian bawah (bahagian belakang) peti sejuk untuk kegunaan hari berikutnya. Ini adalah kerana, susu yang telah dibekukan ditempat kerja mungkin akan cair ketika dalam perjalanan balik ke rumah. Perlu diketahui bahawa seelok eloknya susu perahan beku yang telah cair perlu digunakan dalam tempoh 24 jam bagi menjamin kualiti dan nutrisi yang terkandung di dalamnya.