Wanita Bujang Menyusu Anak Angkat?


Islam tidak melarang umatnya mengambil anak angkat. Dengan niat dan cara yang betul, memelihara anak angkat boleh menjadi amal salih yang dapat membekalkan pahala berterusan menjangkau ke alam barzakh dan akhirat. Pengambilan anak angkat oleh mereka yang mempunyai kemampuan kewangan dan kemasyarakatan sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah sosia. Dengan kata lain, amalan mengambil anak angkat memenuhi keperluan secara timbal balik dan memenuhi naluri keibuan dalam jiwa setiap wanita.
Namun, tidak semua wanita dianugerahi cahaya mata. Maka, mengambil anak adalah penyelesaian baginya. Dan dari segi yang lain pula ia memberi peluang kepada anak yang tidak mempunyai tempat bernaung kerana kematian ibu bapa, kemiskinan dan sebagainya mendapat pembelaan sewajarnya.
Mengenai hukum wanita bujang menyusukan anak angkat, fuqaha pernah membincangkannya dalam bab – adakah disyaratkan wanita yang menyusukan itu disetubuhi (bersuami) dan mencapai usia tertentu atau tidak?
Ulamak, Mazhab Hanafi, Syafi'e dan Hambali berpendapat, wanita yang menyusukan bayi itu tidak disyaratkan berkahwin dan disetubuhi. Jika payu dara seorang dara mengeluarkan air susu, dan susu itu diminum oleh bayi, maka berlakulah hurmah (haram berkahwin) antara wanita itu dan kerabatnya dengan bayi itu seperti haram dengan sebab hubungan nasab.
Mengenai usia wanita yang menyusukan, mereka menyatakan disyaratkan usia wanita itu tidak kurang sembilan tahun kerana kemampuan mengeluarkan susu adalah berkaitan dengan kemampuan mengandung dan melahirkan anak. Kanak-kanak bawah sembilan tahun tidak boleh dikatakan sudah mampu (dari segi fizikal) melahirkan anak.
Dari segi persepsi budaya Melayu, apa yang saya perhatikan ia sering berubah-ubah dan tidak semua berlandaskan hukum syarak. Sesuatu yang pada suatu masa dianggap jelek, bertukar menjadi baik pada masa yang lain. Justeru, apa yang penting adalah hukum Allah SWT kerana Dialah satu-satunya yang berhak menentukan halal atau haram sesuatu perkara.
(Jawapan disediakan Oleh Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Untuk persoalan dan jawapan bagi isu-isu yang lepas, boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com)
_____________________________________________________________
Bagi mereka yang mahu tahu kaedah untuk menyusukan anak angkat (bagi yang bujang @ yang belum pernah hamil/ ada anak), boleh hubungi pakar laktasi anda untuk keterangan lanjut.

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati sekiranya anda sudi meninggalkan komen dan link contact anda kerana saya pasti membaca dan menjawabnya nanti. Terima kasih!