!6 Soalan Penyusuan Susu Ibu Yang Popular


Bagi ibu2 yg baru mengenali dunia penyusuan susuibu, pelbagai persoalan bermain di fikiran mereka. Adakalanya perkara2 tersebut membuatkan sesi penyusuan utk si comel buahati tersayang akan terganggu. Jom kita semak persoalan yg popular di kalangan ibu2 breastfeed ni, rujukan utk saya juga! :)

1.Soalan:

Kenapa menyusu awal itu penting?

Jawapan:

Hisapan di peringkat awal amat penting kerana:

* Dapat merangsang pengeluaran awal susu. Lebih banyak bayi menghisap payudara, lebih banyak susu akan dihasilkan kemudian.
* Dapat melindungi bayi dari jangkitan. Ketika bayi menyusu di hari-hari permulaan kelahirannya, dia akan menerima kolostrum yang berwarna kekuningan.



Kolostrum ini dan susu sebenar yang keluar beberapa hari kemudian mengandungi kandungan anti-jangkitan yang tinggi seperti immunoglobulins dan sel-sel putih yang menjadi sumber perlindungan utama dari jangkitan. Perlu ditekankan bahawa bayi yang menyusu dengan susu ibu adalah lebih sihat dan kurang terkena cirit birit atau penyakit lain.

2. Soalan:


Bilakah waktu yang sesuai bagi ibu mula menyusukan bayinya?

Jawapan:

Waktu terbaik untuk memulakan penyusuan ialah selepas kelahiran dan perlu dilakukan secepat mungkin jikalau ibu mampu melakukannya. Meletakkan bayi ke dada ibu sebaik sahaja bayi lahir adalah pengalaman yang cukup berharga.

Dalam tempoh dua jam selepas bayi lahir, kemampuan menghisap berada pada tahap yang tinggi. Sesetengah bayi tidak berminat untuk hendak menyusu sebaik sahaja lahir. Jangan bimbang jika mendapati bayi anda mengantuk, membiarkan dirinya dibelai atau dilihat sahaja. Mungkin selepas itu baru dia berkeinginan hendak menyusu. Hisapan bayi pada payudara merangsang pengeluaran hormon yang akan menjadikan rahim menguncup. Ini membantu menyembuhkan sakit selepas bersalin.

3. Soalan:

Berapa lamakah harus saya menyusu pada sebelah payudara?

Jawapan:


Paling baik ialah memberikan penyusuan yang singkat tetapi kerap kerana ini dapat membuatkan susu keluar lebih cepat dan meningkatkan kuantiti susu ibu. Ia juga memberi peluang kepada puting untuk menyesuaikan dengan hisapan bayi. Keinginan bayi menyusu boleh dijadikan sebagai panduan kepada ibu. Bayi akan menentukan dengan sendiri masanya dia ingin menyusu. Melalui cara ini, bayi akan menghisap sebelah payudara sehingga payudara itu kosong. Ini membolehkan dia mendapat khasiat susu yang kaya dan berkrim yang terhasi di hujung penyusuan.

Susu yang keluar di 'akhir' setiap penyusuan digelar "hind milk". Susu akhir ini mengandungi khasiat lemak yang diperlukan untuk pembesaran bayi. Ibu diminta supaya menyusu bayi menggunakan payudara yang sebelah lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya. Bayi akan menunjukkan tanda-tanda sama ada hisapan pada sebelah payudara sahaja mencukupi atau tidak. Jika ia mencukupi, bayi akan menarik mulutnya keluar atau pun tertidur di payudara ibu. Jika bayi masih terjaga dan aktif mencari payudara, ini bermakna dia perlukan susu lagi. Oleh itu, berikan payudara yang sebelah lagi. Di awal kelahirannya, bayi memerlukan penyusuan yang kerap dan banyak bagi menjamin tumbesarannya.


4. Soalan:


Bilakah susu mula dihasilkan?



Jawapan:


Diantara hari pertama dan keempat selepas kelahiran, susu sebenar yang berwarna putih akan mula dikeluarkan.Pada peringkat ini, kolostrum akan bercampur dengan susu baru, menjadikan ia kelihatan pekat berkrim. Secara perlahan-lahan, iaitu kira-kira seminggu kemudian, kolostrum akan berkurangan dan susu kelihatan cair, kebiruan dan berkeadaan seperti air. Inilah rupa susu ibu yang sebenar.

Sesetengah ibu mendapati payudara mereka penuh dan berat. Ini dipanggil bengkak susu. Sesetengah bayi akan kehilangan berat dalam tempoh beberapa minggu pertama. Bagaimanapun, berat bayi akan meningkat sebaik sahaja payudara ibu mula mengjasilkan susu.

5. Soalan:

Kenapa bayi tidak diberi susu formula atau air sementara menunggu susu ibu terhasil sepenuhnya?

Jawapan:
Penting untuk dipastikan bayi tidak diberi apa jua penyusuan jenis lain kerana ia akan mengganggu penyusuan susu ibu. Jumlah kolostrum yang sedikit dan susu awal yang diperolehi oleh bayi dari payudara adalah mencukupi untuk tempoh beberapah hari sehingga susu ibu terhasil sepenuhnya dalam kuantiti yang banyak.

6. Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan "Permintaan menyusu"?





Jawapan:


Kajian menunjukkan bahawa faktor paling penting untuk menghasilkan susu ialah membenarkan bayi menyusu sebaik sahaja selepas lahir. Ibu yang mula menyusukan sebaik sahaja selepas bersalin akan cenderung untuk terus menyusu dengan berkesan. Bila penyusuan lewat dimulakan, kebanyakkan ibu akan berasa putus asa untuk meneruskan penyusuan.

Oleh itu, membantu ibu memulakan penyusuan secepat mungkin adalah satu cara paling berkesan bagi seseorang untuk membantu ibu menyusu. Perkara lain yang tidak kurang penting ialah menggalakkan ibu menyusu sekerap mungkin atau selama mungkin. Ini disebut 'permintaan menyusu'(demand) tidak perlu dihadkan berapa lama tempoh menyusu dan jarak diantara setiap penyusuan. Meletakkan bayi dekat dengan ibu di dalam bilik yang samaa akan menjadikan keinginan menyusu semakin meningkat dan mudah. Kini, semakin banyak hospital mendapati cara ini amat praktikal (Bukan sebab nurse malas nak jaga tau!).

7. Soalan:

Mengapa bayi yang baru lahir menyusu dengan kerap?

Jawapan:

Pada peringkat awal, bayi kelihatan ingin menyusu dengan kerap dan ibu menjadi letih untuk melayan permintaannya. Si ibu perlu berasa yakin bahawa dia perlu meluangkan masa dengan menyusu bayi dalam tempoh dua, tiga atau empat hari yang pertama. Jika dalam tempoh berkenaan, dia kerap melayan permintaan bayi untuk menyusu, susunya akan menjadi semakin banyak dan bayi akan lebih mudah menghisap di kemudian hari. Jika ibu hendak menjarakkan masa antara penyusuan, tempoh maksimum yang biasa dicadangkan ialah tiga jam. Jika jarak antara penyusuan terlalu lama iaitu melebihi empat jam, bayi akan kelihatan meragam dan tidak senang.

8. Soalan:

Bagaimana mengatasi masalah bayi yang tidur dan tidak mahu menyusu?

Jawapan:

Sesetengah bayi sentiasa dalam keadaan mengantuk dan lebih banyak tidur daripada berjaga. Bayi seperti ini perlu dikejutkan untuk penyusuan. Dalam tempoh 24 jam, adalah biasa bagi seorang bayi menyusu sebanyak 12 kali atau lebih. Sekurang-kurangnya, bayi perlu mendapat enam atau tujuh penyusuan sehari. Bayi yang sentiasa mengantuk, mungkin disebabkan oleh jangka masa bersalin yang lama atau kesan ubat-ubatan yang diberikan kepada ibu ketika proses bersalin.

9. Soalan:


Bagaimana memastikan bayi mendapat susu yang cukup:


Jawapan:


Jika ibu menyusu bayi berdasarkan keperluan bayi dan dengan kerap, ibu pasti akan mengeluarkan susu secukupnya. Cara mengenalpasti bayi mendapat susu yang cukup ialah:

*Bayi membuang air sebanyak tujuh hingga lapan kali sehari (hanya dengan meminum susu ibu sahaja tanpa mencampurkannya dengan jus atau susu formula)
* Berat badan bayi bertambah. Berat mingguan perlu diperiksa sepanjang bulan.
* Bayi membuang air besar dalam kadar yang tetap. Tetapi tidak semestinya setiap hari. Sesetengah bayi pula membuang air besar dengan kerap. Manakala ada yang tidak membuang selama seminggu.
* Mata bayi kelihatan bercahaya. Kulit dan ototnya kelihatan berada dalam keadaan baik.


10. Soalan:


Bagaimana jika bekalan susu ibu tidak mencukupi?

Jawapan:


Kadangkala ibu beranggapan bahawa pengaliran susu amat kurang dan tidak mencukupi untuk bayi. sebenarnya, anggapan ini salah. Ibu perlu yakin bahawa susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. Jika ibu terasa susunya kurang, dia boleh menambahnya dengan cara:

* Menyusu dengan lebih kerap. Lebih banyak bayi menghisap payudara, lebih banyak susu akan dihasilkan. Kekerapan menyusu akan menghasilkan lebih banyak susu.
* Bertenang ketika menyusu akan membantu susu mengalir dengan baik. Ibu boleh makan makanan ringan, minum, membaca buku, mendengar muzik, menonton TV atau melakukan senaman pernafasan ketika bayi mula menyusu. Tumpukan perhatian kepada otot-otot. Cara ini juga boleh menjadikan ibu tenang.
* Berehat pada waktu siang. Ibu perlu tidur lebih di siang hari bagi menggantikan gangguan tidur di waktu malam kerana bayi hendak menyusu. Menjaga bayi baru lahir adalah satu tugas yang meletihkan. Ibu perlu menggalakkan bayi dan anak kecil yang lain tidur bersamanya pada waktu tengahari.
* Makan makanan berkhasiat. Ibu perlu makan makanan seimbang. Bukan makanan ringan atau tidak berkhasiat.

11. Soalan:


Kenapa susu saya kelihatan cair?


foremilk & hind milk


Jawapan:

Jika bayi kelihatan meragam dan tidak puas hati, dia mungkin tidak menerima susu yang kaya dan berkrim dihujung penyusuan. Susu ini dipanggil 'susu akhir'. Cara terbaik untuk memperbetulkan masalah ini ialah dengan memberikan susu dengan sebelah payudara sahaja setiap kali menyusu. Cara ini dapat memastikan yang bayi menerima semua peringkat susu iibu berikut:

* 'susu pertama' (foremilk) kelihatan seperti air biasa bertujuan untuk menghilangkan dahaga.
* 'susu pertengahan' mengandungi lebih khasiat protein.
* 'susu akhir' (hind milk) kelihatan lebih pekat dan berkrim kerana kaya dengan khasiat lemak. Bayi memerlukan susu ini untuk membolehkan berat badannya meningkat. Cara ini baik untuk membantu bayi yang kurang berat badan menambah berat badannya.

Pastikan ibu mengingati yang dia perlu menyusu dengan payudara sebelah lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya. Ibu boleh lekatkan pin pada baju dalam untuk memudahkan dia mengingatinya. Bayi yang kurang berat badan sejak lahir memerlukan penyusuan yang kerap sepanjang siang dan malam.

12. Soalan:


Apakah yang perlu saya lakukan jika susu saya mengalir dengan pantas menyebabkan bayi saya sering tersedak?


Jawapan:


Jika bayi sering tersedak kerana susu mengalir terlalu pantas, ibu boleh melakukan perkara di bawah:

* Hentikan penyusuan selama satu minit. Kemudian, masukkan semula puting ke mulut bayi apabila pengaliran susu semakin perlahan. Untuk menarik keluar mulut bayi tanpa menyebabkan puting sakit, ibu boleh masukkan jari bersih dihujung mulut bayi. Satu cara lain untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memerah susu terlebih dahulu bagi mengeluarkan pengaliran susu yang pantas.
* Menyusu pada kedudukan berbaring dengan meletakkan bayi di atas dada ibu akan menyebabkan bayi menghisap susu naik ke atas. Ini bermakna bayi menghisap ke arah bertentangan dengan graviti. Oleh itu, pengaliran susu naik ke atas menjadi agak lambat berbanding pengaliran susu turun ke bawah. Ibu mungkin menggunakan kaedah menyusu cara ini di waktu awal pagi atau diwaktu permulaan penyusuan sahaja dimana pada waktu itu susu biasanya mengalir dengan pantas. Apabila tiba diakhir penyusuan, ibu boleh bertukar kepada menyusu cara duduk. Cara ini lebih menjamin payudara dapat dikosongkan dengan sempurna.

13. Soalan:

Saya dapati susu saya meleleh dan membasahi baju, apa yang harus saya lakukan?

Jawapan:

Pada peringkat awal, ibu mengalami masalah susu sering meleleh keluar dari payudara di waktu-waktu antara penyusuan. Masalah ini akan berkurangan apabila payudara dapat menyesuaikan dengan jadual penyusuan dan otot-otot disekitar puting berupaya mengawal pengaliran keluar susu di waktu-waktu berkenaan.

Cuci payudara menggunakan air suam atau sejuk dan cuci lelehan itu agar ia tidak mengotorkan baju atau baju dalam. penting untuk menukar pelapik baju dalam dengan kerap agar puting tidak sakit atau berada dalam keadaan lembap. Jangan gunakan pelapik plastik. Selain pelapik baju dalam, ibu digalakkan menggunakan sapu tangan tetapi jangan menggunakan tisu. Ketika menyusu, alaskan dengan lampin bersih atau cawan agar susu boleh meleleh ke dalamnya. Seelok-eloknya, jangan pakai baju dalam agar susu boleh mengalir bebas.

14. Soalan:

Apa yang dikatakan 'keliru puting' yang menyebabkan bayi enggan menyusu?




Jawapan:


Punca utama kenapa bayi enggan menyusu ialah bayi terlebih dahulu diberi susu botol sewaktu dihospital. Bayi menjadi keliru dengan kelainan puting ibu dan tidak mahu menghisap dengan betul di payudara ibu. Dia sukar hendak belajar memasukkan puting ke dalam mulutnya.

Dalam kedudukan menghisap yang baik, puting dan aerola akan meregang keluar bagi membentuk seolah-olah satu puting yang panjang di dalam mulut bayi. Lidah bayi akan menekan areola ke atas sehingga terkena lelangit mulutnya. Cara ini akan menyebabkan susu mengalir keluar.

Dalam kedudukan menghisap yang tidak baik, puting tidak berada cukup jauh ke dalam mulut bayi. Bayi hanya menghisap hujung puting sama seperti kaedah menghisap puting botol. Dengan cara ini, susu tidak akan keluar. Malah menyebabkan puting ibu terasa sakit. Kekeliruan terhadap puting terjadi apabila bayi diberikan sekali atau dua kali penyusuan menggunakan botol, bayi mungkin mempunyai kecenderungan untuk memilih susu botol dan menolak susu ibu.


15. Soalan:


Bagaimana jika saya membawa bayi keluar dan saya harus menyusukannya?

Jawapan:

Bayi yang menyusu susu ibu mudah keluar dari rumah bersama ibu. Selalunya, bayi akan dibawa ke tempat-tempat yang memudahkan dia menyusu di mana sahaja. Biasanya, pusat membeli-belah ada menyediakan bilik khas yang sesuai untuk para ibu menyusukan anak. Selain itu kini terdapat alternatif untuk para ibu iaitu kain 'poncho', ia boleh digayakan sebagai fesyen sekaligus, melindungi aurat ibu yang sedang menyusukan dari dilihat umum. contohnya:

16. Soalan:

Bagaimana caranya saya mengetahui kejayaan menyusu bayi?

Jawapan:

Pastikan ibu berada dalam keadaan selesa dan tenang ketika menyusu bayi. Ibu akan tahu bahawa susunya sudah keluar dalam tempoh kira-kira satu atau dua minit selepas bayi mula menghisap. Ini berdasarkan:

* Pola hisapan bayi akan berubah kepada 'hisap dan telan - hisap dan telan'. Ini bermakna bayi sedang minum susu ibu. Keadaan ini pasti akan berlaku setiap kali bayi menghisap.
* Payudara akan menjadi suam panas dan seperti penuh. Ibu akan terasa kawasan sekeliling payudara berdenyut sedikit. Pada masa yang sama, susu dari payudara sebelah lagi mungkin turut menitis keluar. Bagaimanapun, keadaan ini jarang berlaku setiap kali penyusuan.

Alhamdulillah, lengkap sudah persoalan-persoalan yang kerap ditanya tentang penyusuan susu ibu. Iffa harap ia menjadi panduan buat ibu-ibu semua. InsyaAllah, jika diberikan kesempatan akan Iffa share lebih banyak lagi info-info tentang penyusuan susu ibu dan kesihatan.

Sumber Asal: iffa

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati sekiranya anda sudi meninggalkan komen dan link contact anda kerana saya pasti membaca dan menjawabnya nanti. Terima kasih!